
Laporan/foto: Noorul Arizah Md Razani
REMBAU, 9 Mac (MalaysiaAktif) – Kerajaan Negeri Sembilan memperkasakan kawalan kebersihan melalui Jerayawara Bazar Ramadan Peringkat Negeri bagi memastikan kualiti dan keselamatan juadah berbuka puasa di seluruh negeri berada pada tahap tertinggi.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Dato’ Tengku Zamrah Tengku Sulaiman, pemantauan menyeluruh oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) dilakukan secara berkala di bawah Akta Makanan 1983 bagi mengelakkan sebarang insiden keracunan makanan.

Tengku Zamrah meninjau pelaksanaan kawalan kebersihan di Bazar Ramadan Pekan Rembau bagi memastikan juadah yang dijual selamat untuk pengguna.
“Kita mahu para peniaga bukan sekadar mengejar keuntungan, tetapi memikul tanggungjawab besar dalam memastikan penyediaan makanan dilakukan secara bersih.
“Penggunaan pakaian pelindung diri seperti apron dan penutup kepala adalah wajib, selain tidak memakai perhiasan diri yang boleh mengundang risiko pencemaran,” tegasnya semasa sesi tinjauan di Bazar Ramadan Pekan Rembau, kelmarin.
Hadir sama ialah Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan Dato’ Dr. Harlina Abdul Rashid serta barisan pimpinan tertinggi Jabatan Kesihatan Negeri (JKNNS).

Tengku Zamrah meninjau kebersihan dan keselamatan makanan di Bazar Ramadan Pekan Rembau.
Untuk rekod, sebanyak 60 lokaliti bazar Ramadan dengan 3,190 gerai beroperasi di seluruh Negeri Sembilan tahun ini dengan 1,194 gerai di 34 lokaliti telah diperiksa setakat ini.
1,177 daripadanya mencapai tahap kebersihan memuaskan sementara sebanyak 26 notis telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan teknikal pengendalian makanan.
Jabatan Kesihatan Negeri turut menasihatkan orang ramai agar mengamalkan prinsip ‘Perhati dan Pilih’ serta langkah ‘Lihat, Hidu dan ‘Rasa” sebelum menikmati juadah, selari dengan slogan keselamatan makanan negeri: ‘Jom Waghih Budayokan Makanan Selamat’.
-RI





