
Laporan/foto: Hasrulazlinda Hassan/Yayasan Munarah (Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 9 Mac (MalaysiaAktif) – ‘Sikit tanda ada, banyak tanda ingat’, itulah perumpamaan yang boleh digambarkan semasa Majlis Kurniaan Sumbangan dan Bubur Lambuk 2026 bertempat di Seri Menanti Resort, kelmarin yang disempurnakan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan menuang bubur di dalam bekas.
Menurut Eksekutif Masjid Diraja Tuanku Munawir, Abdul Rahman Ibrahim, program anjuran Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti dengan kerjasama beberapa agensi terpilih sejak 2012 ini diadakan sebagai sebahagian bentuk bantuan kepada golongan yang memerlukan.
“Program ini sedikit sebanyak dapat merapatkan lagi jurang antara masyarakat dan pihak istana dengan keterlibatan keluarga Diraja semasa kurniaan sumbangan,” ujarnya.
Seramai 75 orang penerima di sekitar Seri Menanti dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah menerima beg sumbangan Yayasan Munarah, Emora Biotech dan CIMA.
-RI





