
Laporan/foto: Khairul Othman/Media MBNS(Negeri Sembilan)
SEREMBAN, 2 Mac (MalaysiAktif) – Pendidikan Islam kekal menjadi teras utama dalam membentuk akhlak, mengukuhkan akidah dan melahirkan generasi berintegriti bagi menangkis pelbagai ancaman gejala sosial yang semakin meruncing pada masa kini.
Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata kebimbangan terhadap isu seperti penyalahgunaan dadah, lumba haram dan pengaruh negatif luar dalam kalangan remaja bukan lagi satu perkara kecil yang boleh dipandang remeh.

Sebahagian guru-guru Pendidikan Islam wanita yang hadir.
Beliau menegaskan bahawa anak-anak merupakan satu amanah yang besar, dan menjadi tanggungjawab bersama semua pihak untuk memastikan golongan tersebut tidak terus tersasar daripada landasan agama serta nilai murni.
“Saya tekankan di sini soal adab pelajar Islam yang perlu sentiasa dipelihara. Pendidikan tidak hanya berlaku di sekolah semata-mata, sebaliknya ia bermula dari rumah.
“Justeru, kerjasama erat antara guru dan ibu bapa amat penting bagi memastikan anak-anak membesar dengan asas akidah serta akhlak yang kukuh, apatah lagi dengan cabaran besar ibu bapa hari ini dalam mendidik dan memantau ibadah solat anak-anak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Multaqa MADANI Guru Pendidikan Islam Siri 2 Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2025 di Dewan Komuniti Taman Coral Heights, di sini kelmarin.

Aminuddin (hadapan tengah) bersama guru-guru Pendidikan Islam yang menyertai program tersebut.
Terdahulu, beliau turut menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan inisiatif kepada penerima yang layak.
Dalam pada itu, mengambil keberkatan menghampiri kemuncak bulan puasa, Aminuddin turut menyeru masyarakat agar budaya memakmurkan institusi agama diperkasakan, khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Menjelang 10 malam terakhir Ramadan ini, saya menyeru agar budaya ke masjid diperkasakan. Masjid perlu dijadikan sebagai pusat pembinaan jiwa dan sahsiah yang sebenar, bukan sekadar tempat persinggahan,” tegasnya.
Pada masa sama, Aminuddin turut menzahirkan penghargaan atas peranan besar yang digalas oleh guru-guru Pendidikan Islam serta menyifatkan golongan pendidik ini sebagai tulang belakang negara dalam membina generasi pelapis yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah memiliki nilai moral dan keperibadian yang tinggi untuk berdaya saing.
-RI





