
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 15 Mac (MalaysiaAktif) – Kerajaan MADANI melalui Perbadanan Labuan (PL) memberikan potongan 50 peratus kadar sewa kepada peniaga-peniaga kecil di kawasan bandar sepanjang tahun ini.

Hannah menghargai peranan para media Labuan dalam memastikan maklumat sahih terus disampaikan kepada masyarakat.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, PL memberikan diskaun untuk premis niaga milik Perbadanan Labuan di Pasar Sentral Labuan dan diskaun ini akan terus dinikmati oleh hampir 517 peniaga di kawasan ini sehingga akhir tahun.
“Perbadanan Labuan juga akan memanjangkan pemberian kadar diskaun ini kepada 56 peniaga kecil di Medan Selera Labuan dan Anjung Selera Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan,” katanya semasa ditemui media pada Majlis Nur Ramadan Bersama Media Labuan, di sini semalam.
Jelasnya, implikasi kewangan yang ditanggung Perbadanan Labuan melalui pemberian diskaun kepada peniaga di Pasar Sentral Labuan berjumlah hampir RM450,000 setahun.

Para media Labuan tidak melepaskan peluang beramah mesra bersama Hannah.
“Manakala implikasi kewangan bagi pemberian diskaun kepada peniaga di Medan Selera Labuan dan Anjung Selera Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan berjumlah RM10,500.00 sebulan atau RM123,000 setahun.
“Bagi menikmati insentif kadar pengurangan ini, peniaga berkenaan hendaklah terlebih dahulu mejelaskan sebarang tunggakan sedia ada sebelum layak menikmati insentif tersebut,” katanya.
Tambahnya, langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan MADANI untuk memastikan dasar yang dilaksanakan memberi kelegaan nyata kepada para peniaga kecil tanpa menjejaskan keupayaan PL untuk terus menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada warga Labuan.
-RI





