
Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh (Tanah Merah)
PASIR MAS, 15 Mac (MalaysiaAktif) – Program gotong-royong membersihkan kawasan tanah perkuburan Islam Kampung Buloh Melintang, Chetok diadakan sebagai persediaan menyambut kepulangan perantau menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Program gotong-royong kubur turut disertai kaum, wanita dan kanak-kanak.
Program berkenaan dianjurkan oleh Persatuan Penduduk Kampung Buloh Melintang dengan kerjasama Persatuan Anak Kangkong Rakan (PAKRA).
Aktiviti itu bertujuan memastikan kawasan perkuburan berada dalam keadaan bersih dan terurus, sekali gus memudahkan urusan ziarah kubur oleh penduduk tempatan serta perantau yang pulang ke kampung halaman pada hujung minggu ini.
Pengerusi persatuan, Mat Roni Idris, 60, berkata program gotong-royong tersebut telah lama dirancang dan kebiasaannya dilaksanakan secara berkala setiap bulan.
“Namun kali ini, ia dilaksanakan lebih hampir dengan musim perayaan supaya perantau yang pulang nanti dapat menziarah kubur bersama keluarga dalam suasana yang lebih selesa,” katanya ketika ditemui di lokasi program, kelmarin.

Zamani (kiri) bersama rakan sedang memesin rimput.
Sementara itu, Setiausaha Kerja PAKRA, Zamani Abd Wahab, 50, memaklumkan kawasan perkuburan sebelum ini dipenuhi semak-samun dan rumput panjang.
Program tersebut turut disertai kaum wanita dan kanak-kanak yang membawa pelbagai peralatan gotong-royong, sekali gus mencerminkan semangat kerjasama dan kebersamaan dalam komuniti setempat.
-RI





