Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

PMR 2026 Perak Sasar Dekatkan Perkhidmatan Kerajaan Kepada Rakyat

By 26 Mac 2026Mac 27th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sarah Nur (Perak)/PACU

IPOH, 25 Mac (MalaysiaAktif) – Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 akan membuka tirainya di Perak sebagai lokasi penganjuran pertama tahun ini, bagi meneruskan usaha mendekatkan kerajaan dengan rakyat melalui penyampaian perkhidmatan secara langsung.

Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan program yang bertemakan ‘Bandar Lestari, Perumahan Berkualiti, Komuniti Harmoni’ itu akan berlangsung di Bulatan Sultan Azlan Shah, Persiaran Meru, di sini bermula 3 hingga 5 April ini.

Edisi kali ini menyaksikan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bertindak sebagai kementerian peneraju dengan kerjasama strategik Kerajaan Negeri Perak selaku tuan rumah.

“PMR 2026 Perak menzahirkan aspirasi kerajaan dalam mewujudkan integrasi antara pembangunan fizikal dan kesejahteraan rakyat melalui pembangunan bandar yang mampan serta penyediaan perumahan berkualiti.

“Aspirasi ini juga selari dengan Pelan Perak Sejahtera 2030 yang memberi penekanan kepada kesejahteraan komuniti, perumahan dan pembangunan bandar,” menurut kenyataan tersebut.

Kemuncak program tersebut adalah majlis perasmian yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 4 April (Sabtu) yang turut memberi peluang kepada rakyat untuk bertemu mata dengan kepimpinan tertinggi negara.

Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai pengisian menarik disediakan termasuk perkhidmatan kaunter kerajaan, inisiatif kesejahteraan rakyat, perkhidmatan kesihatan serta Jualan Rahmah MADANI dan Jualan Agro MADANI.

Turut ditawarkan adalah peluang pekerjaan, festival makanan tempatan, program pertukaran topi keledar, pertukaran minyak enjin motosikal percuma, perkhidmatan gunting rambut percuma serta pameran aset pertahanan dan keselamatan.

Selain itu, penganjuran kali ini turut menekankan penglibatan aktif Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan komuniti setempat bagi memperluas capaian serta manfaat program kepada rakyat secara lebih inklusif.

Orang ramai dijemput hadir bermula pukul 9 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu, manakala pada hari Ahad, program bermula dari pukul 9 pagi hingga 6 petang.

-AA-

Tinggalkan komen anda