Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Popis Zacklicous Cetus Inspirasi Usahawan Muda

By 11 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aini Aziz/Politeknik Kuala Terengganu (Terengganu)

KUALA TERENGGANU, 11 Mac (MalaysiaAktif) – Dari idea di rumah ke perniagaan popular, pelajar Politeknik Kuala Terengganu (PKT) berjaya menerima Dana UNIPRENEUR 5.0 untuk mengembangkan perniagaannya iaitu Popis Zacklicous, popia goreng berintikan pisang dengan topping keju (cheese) dan pelbagai perisa menarik yang kini menjadi kegemaran ramai.

Pengarah PKT menyampaikan Dana UNIPRENEUR 5.0 berjumlah RM3,000 kepada pelajar PKT, Che Ku Muhammad Zakwan Che Ku Muhamad Bahrin bagi menyokong perniagaan Popis Zacklicous.

Menurut Che Ku Muhammad Zakwan Che Ku Muhamad Bahrin, 20, idea tercetusnya perniagaan Popis Zacklicous bermula pada akhir Januari 2025 ketika mempunyai banyak pisang di rumahnya.

“Saya mula cuba buat sendiri popia pisang dengan pelbagai topping (toping) dan cheese (keju). Pada mulanya hanya untuk cuba-cuba, tapi tak sangka ia mendapat sambutan yang sangat baik daripada pelanggan,” katanya kepada Malaysia Aktif, baru-baru ini.

Bagi bulan Ramadan ini, Popis Zacklicous hanya dibuka untuk tempahan pada hari Jumaat dan Sabtu kerana Zakwan masih perlu menghadiri kelas pada hari Isnin hingga Khamis.

“Setiap kali dapat tempahan, saya rasa gembira dan teruja. Dana RM3,000 yang saya terima daripada UNIPRENEUR 5.0 akan saya gunakan untuk kembangkan perniagaan, tambah kapasiti pengeluaran, dan mungkin memperkenalkan menu baharu,” jelasnya.

Antara produk Popis Zacklicous yang diusahakan Che Ku Muhammad Zakwan iaitu popia goreng berintikan pisang dengan pelbagai pilihan topping menarik.

Program UNIPRENEUR 5.0 adalah inisiatif kerjasama antara Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), bertujuan memperkasa keusahawanan pelajar TVET melalui bantuan modal perniagaan serta bimbingan keusahawanan.

Majlis penyerahan dana telah disempurnakan oleh Pengarah PKT Ts. Nadzri Che Kamis dan turut disaksikan oleh Ketua Unit Keusahawanan PKT Rasmaliza Rashid bertempat di Pejabat Pengarah, kelmarin.

Kejayaan Zakwan bukan sahaja menjadi pencetus semangat bagi beliau sendiri, malah diharapkan menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk menceburi bidang keusahawanan dan mencipta peluang pekerjaan sendiri.

-RI

Tinggalkan komen anda