
Laporan/foto: Juslie Bacle/Mohd Shakir Salleh (Lahad Datu)
LAHAD DATU, 16 Mac (MalaysiaAktif) – Kerajaan terus menzahirkan komitmen dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara antaranya melalui Program Sinar Kasih Ramadan di Masjid Kampung Cocos Segama, di sini kelmarin.
Program anjuran Yayasan Kebajikan Negara itu merupakan inisiatif kerajaan dalam menyantuni golongan memerlukan khususnya masyarakat di kawasan luar bandar di Sabah.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri berkata program tersebut merupakan usaha kementerian memastikan rakyat menerima sokongan serta bantuan menyeluruh.
“Kementerian melalui pelbagai agensi sentiasa berusaha memastikan kebajikan rakyat dipelihara secara menyeluruh termasuk sokongan psikososial kepada mereka yang memerlukan,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Memberikan contoh, Nancy berkata kerajaan mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi pada kadar RM1.99 seliter melalui inisiatif BUDI95 atas dasar memahami cabaran dihadapi rakyat susulan kenaikan harga minyak global.
Beliau berkata inisiatif tersebut termasuk pengekalan harga diesel bersubsidi di Sabah dan Sarawak sememangnya bermatlamat membantu meringankan beban kos sara hidup masyarakat.
Pada program tersebut, sebanyak 100 keluarga daripada golongan asnaf dan masyarakat sekitar telah menerima sumbangan berupa bakul makanan serta duit raya bagi persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
-RJ-





