
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SUNGAI BULOH, 7 Mac (MalaysiaAktif) – Penduduk di beberapa kawasan ‘hotspot’ banjir di daerah ini dan Rawang bakal menarik nafas lega apabila dua projek utama menaik taraf sungai dan kolam takungan banjir dijadualkan siap sepenuhnya Mei ini.
Pegawai Daerah Gombak Nor Azlina Abd Aziz berkata projek menaik taraf Sungai Kemensah yang menelan kos RM8 juta kini telah mencapai tahap kemajuan 99 peratus.
“Bagi projek pembinaan kolam takungan banjir di Rawang Integrated bernilai RM5 juta pula, kemajuan kerja kini berada pada tahap 50 peratus dan turut dijangka siap pada Mei ini.
“Projek ini dilaksanakan khusus bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan kritikal seperti Jalan B27, Taman Anggun dan Taman Permai di Mukim Rawang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sembah ucapan sempena Majlis Berbuka Puasa Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama rakyat di Masjid Darul Ulum, Kampung Matang Pagar semalam.
Mengulas lanjut mengenai usaha menangani bencana itu, Nor Azlina memaklumkan projek menaik taraf Sungai Batu dan kawasan sekitarnya bagi Fasa Dua pula kini sedang berjalan lancar.
“Projek yang bermula pada Februari 2025 itu telah mencapai kemajuan 35 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2027 dengan kos keseluruhan RM5 juta,” jelasnya.
Dalam pada itu, perkembangan projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Selangor menunjukkan prestasi membanggakan apabila mencatatkan kemajuan 80.68 peratus, sekali gus mendahului jadual yang disasarkan.
Menurutnya, secara keseluruhan, projek ECRL telah mencapai tahap 91.3 peratus sehingga Januari lalu.
“Saat ini, kerja-kerja pembinaan infrastruktur termasuk pemasangan sistem rel serta kerja seni bina di Stesen Penumpang ECRL Gombak kini sedang memasuki fasa penyiapan akhir,” katanya.
-RI





