Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

UnIPSAS Kini UNIQSAAS, Universiti Al-Quran Pertama di Malaysia

By 7 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Akmar Zulkifli (Pahang)/Portal UnIPSAS

KUANTAN, 7 Mac (MalaysiaAktif) – Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) kini secara rasmi dikenali sebagai Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS).

Pengisytiharan penjenamaan semula ini diperkenankan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali gus menjadikannya universiti al-Quran pertama di Malaysia.

Sultan Pahang berkenan menulis tulisan khat ayat “Bismillahirrahmanirrahim” pada majlis pengisytiharan tersebut.

Pengumuman bersejarah tersebut berlangsung di Istana Abdulaziz, Indera Mahkota, di sini semalam bersempena malam Nuzul al-Quran.

Pada majlis itu, Baginda berkenan menerima warkah perisytiharan nama UnIPSAS kepada UNIQSAAS daripada Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebelum menyerahkan warkah berkenaan kepada Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai simbolik pengisytiharan rasmi universiti tersebut.

Pengisytiharan turut disaksikan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Antara tetamu yang hadir.

Naib Canselor UNIQSAAS, Profesor Datuk Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin berkata pengisytiharan itu melambangkan satu lagi pencapaian penting dalam perkembangan institusi pendidikan tinggi di Pahang sekali gus memperkukuh komitmen kerajaan negeri dalam memartabatkan pendidikan yang berteraskan Al-Quran sebagai asas pembinaan generasi masa depan.

“Menjadikan al-Quran sebagai asas panduan akademik dan nilai, UNIQSAAS berusaha melahirkan generasi ilmuwan dan pemimpin yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang kepakaran masing-masing, malah berpandukan wahyu dalam pemikiran, tindakan dan etika,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

UNIQSAAS akan mengintegrasikan pengajian al-Quran dalam 40 program pengajian yang merangkumi peringkat Asasi, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana hingga Doktor Falsafah (PhD).

-RI

Tinggalkan komen anda