
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SUNGAI BULOH, 7 Mac (MalaysiaAktif) – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat merasmikan Masjid Darul Ulum di Kampung Matang Pagar, di sini semalam.
Turut berkenan berangkat ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dalam suasana yang penuh dengan istiadat serta kemuliaan.

DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada 500 penerima.
Ketibaan baginda berdua kira-kira jam 6.14 petang disambut Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari serta Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.
Hadir sama ialah Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr. Mohammad Fahmi Ngah.
Pegawai Daerah Gombak Nor Azlina Abdul Aziz berkata pembinaan masjid berkenaan merupakan signal keprihatinan kerajaan negeri terhadap keperluan rohani penduduk di daerah Gombak.
“Pembinaan semula masjid ini bertujuan menyediakan ruang ibadat yang lebih luas dan kondusif bagi menampung kariah yang semakin bertambah,” katanya dalam sembah ucapan pada majlis berkenaa.

DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah berangkat masuk ke dewan utama Masjid Darul Ulum untuk menunaikan solat.
Menurutnya, masjid yang terletak di atas tanah seluas 0.8 ekar itu menjadi nadi utama aktiviti keagamaan penduduk di sekitar Kampung Matang Pagar.
“Pembinaan semula yang bermula pada tahun 2022 itu menggantikan struktur lama sejak 1994 yang dahulunya hanya berfungsi sebagai sebuah madrasah dan pusat pengajian.
“Projek ini melibatkan kos RM7 juta hasil peruntukan kerajaan negeri melalui JAIS serta sumbangan infak orang ramai yang sangat menggalakkan bagi pembangunan ummah,” katanya.
Masjid yang siap sepenuhnya pada penghujung 2024, kini mampu menampung 1,500 jemaah dan diharap dapat menyatukan komuniti setempat melalui pelbagai program bermanfaat.
-RI





