
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sarawak)
SRI AMAN, 3 Mac (MalaysiaAktif) – Ritual tradisional ‘Bai Zhu Tian’ dan ‘Huo Gong’ menjadi acara utama menjelang kemuncak sambutan Chap Goh Mei apabila menarik penyertaan penganut agama Buddha di Tokong Ciyun, di sini yang berusia lebih 100 tahun, semalam.
Program anjuran Persatuan Soon Heng Simanggang sempena ketibaan Tahun Kuda Emas 2026 itu mempamerkan warisan kerohanian yang terus dipelihara masyarakat setempat.
Upacara bermula seawal 9 pagi dengan ritual ‘Bai Zhu Tian’ atau menyembah dewa-dewa syurga melalui bacaan sutra serta persembahan makanan vegetarian sebagai simbol kesyukuran dan doa memohon kesejahteraan negara serta keselamatan komuniti.

Penganut Tay Cho Seng mempersembahkan hidangan kepada Guru Vajra ketika ritual Bai Zhu Tian berlangsung di Tokong Ciyun, Sri Aman bagi memohon keberkatan dan keselamatan komuniti.
Penganjuran ritual berskala besar ini berfungsi sebagai platform penting bagi memperkukuh keharmonian sosial di Sri Aman.
“Kami berharap melalui upacara kerohanian ini, ia dapat membawa keberkatan buat seluruh masyarakat serta menyuntik semangat positif untuk melangkah ke Tahun Kuda Emas dengan lebih jaya,” kata Temenggong Kueh Aik Seng yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Soon Heng ketika ditemui semalam.
Menjelang 8 malam, tumpuan beralih pula kepada upacara ‘Huo Gong’ atau persembahan api yang menjadi amalan dalam tradisi Buddha Tibet bagi menyucikan minda dan menghapuskan halangan hidup.
Kedua-dua upacara dipimpin oleh Guru Vajra Lama Da Ge dan Lama Ji Ling dalam suasana penuh tertib dengan kehadiran jawatankuasa persatuan serta penganut dari pagi hingga lewat malam.
-RJ-





