Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanNegeri Sembilan

RM121,380 Disalurkan untuk Program Ihya’ Ramadan dan Mantai Rayo DUN Bukit Kepayang

By 13 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hasnida Sarani /(Negeri Sembilan)

SEREMBAN, 13 Mac (MalaysiAktif) – Sebanyak RM121,380 telah disumbangkan bagi menjayakan Majlis Sambutan Nuzul Quran, Penyampaian Sumbangan Ihya’ Ramadan dan Mantai Rayo peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepayang bagi tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang Nicole Tan Lee Koon berkata program tradisi tahunan itu merupakan medan utama bagi menyantuni para asatizah serta meringankan beban golongan yang memerlukan sempena ketibaan bulan Ramadan dan Syawal.

Nicole Tan Lee Koon memberikan ucapan.

“Pusat Khidmat DUN Bukit Kepayang telah mengambil peluang untuk menyantuni seramai mungkin warga melalui pelbagai pengisian seperti program memasak dan edaran bubur lambuk, lawatan mesra Bazar Ramadan, sumbangan biskut raya kepada petugas barisan hadapan, serta program ziarah kasih.

“Bulan Ramadan yang mulia ini bukan sahaja mengajar erti perpaduan, malah memupuk nilai kesyukuran di kalangan komuniti. Hari ini, usaha kita menyantuni masyarakat secara tidak langsung menyatukan kita semua,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Nuzul Quran, Penyampaian Sumbangan Ihya’ Ramadan dan Mantai Rayo DUN Bukit Kepayang 2026 di Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS), di sini kelmarin.

Menurut Penghulu Bukit Kepayang, Muhamad Nizam Jusoh, agihan peruntukan tersebut merangkumi Bantuan Khas Ramadan daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dengan setiap masjid menerima RM5,000, manakala surau menerima RM3,000.

Nicole Tan Lee Koon mengagihkan sampul sumbangan kepada 100 orang penerima bantuan Mantai Rayo dan asnaf.

“Selain itu, seramai 94 orang penerima telah mendapat Sumbangan Bantuan Persediaan Ramadan Asnaf bernilai RM300 seorang.

“Bagi persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri pula, seramai 95 orang asnaf turut menerima bantuan kewangan, yang mana RM700 diagihkan kepada penerima kategori fakir, manakala RM500 kepada penerima kategori miskin,” jelasnya.

Sementara itu, tradisi Mantai Rayo terus dihidupkan dengan 100 orang penerima membawa pulang satu kilogram daging lembu segar sumbangan Kerajaan Negeri Sembilan.

Ia turut disusuli dengan sumbangan baucar belian bernilai RM50 daripada Nicole bagi membolehkan penerima membeli barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak dan telur.

-RI

Tinggalkan komen anda