Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

SWCorp Johor Lancar ‘Op Greater’, Sasar Matlamat Bandar Bersih Johor 2030

By 13 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syamilah Yusman/Mohd Zahid Othman (Johor)

JOHOR BAHRU, 13 Mac (MalaysiaAktif) – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Johor melancarkan ‘Op Greater’ di sekitar bandar raya ini sebagai langkah proaktif mempertingkatkan tahap kebersihan selaras dengan agenda Bandar Bersih Johor 2030.

‘Ops Greater’ di sekitar bandar raya Johor Bahru merangkumi kerja-kerja pembersihan awam seluas 423,857.52 meter persegi.

Pengarahnya Zainal Fitri Ahmad berkata operasi tersebut memfokuskan kepada kawasan Greater Johor Bahru yang merangkumi kerja-kerja pembersihan awam seluas 423,857.52 meter persegi.

“Operasi ini melibatkan 13,956 premis bermula dari kawasan Waterfront Danga Bay hingga ke Bukit Senyum.

“Seramai 10 anggota ditugaskan bagi melaksanakan dua operasi khas iaitu Op Jeling dan SEJIWA bagi memastikan tahap kebersihan di kawasan tumpuan ini sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya ketika ditemui di Legaran Segget, di sini semalam.

Menurut Zainal Fitri, pemantauan rapi amat diperlukan memandangkan kawasan tersebut merupakan lokasi tumpuan pelancong domestik dan antarabangsa.

Pelancaran Ops Greater sebagai langkah proaktif SWCorp Johor mempertingkatkan tahap kebersihan bandar raya Johor Bahru selaras dengan agenda Bandar Bersih Johor 2030.

Tambahnya, operasi penguatkuasaan terhadap kesalahan membuang sampah kecil akan dijalankan secara berterusan bagi memupuk kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat.

“Orang ramai perlu peka bahawa kawasan bandar ini mempunyai jadual kutipan sampah harian pada waktu siang dan malam. Justeru, tiada alasan untuk sampah dibiarkan di kawasan awam di luar waktu yang telah ditetapkan,” tegasnya.

Sehubungan itu, SWCorp menyeru semua pihak agar memainkan peranan menjaga kebersihan persekitaran dan menghentikan tabiat membuang sampah merata-rata demi kelestarian bandar raya Johor Bahru.

-RI

Tinggalkan komen anda