Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Sarang Bee Destinasi Tumpuan Pengunjung di Lubok Antu

By 4 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aileen Madeh Nension (Sarawak)

LUBOK ANTU, 4 Mac (MalaysiaAktif) – Sarang Bee Resort di Engkelili, di sini kini muncul sebagai destinasi santai berkonsepkan alam semula jadi yang semakin mendapat perhatian pengunjung tempatan.

Terletak berhampiran kawasan Batang Ai, resort ini menawarkan suasana tenang dengan tarikan utama mandi sungai, berehat santai dan pengalaman menikmati kehijauan luar bandar Sarawak.

Namun, lebih daripada itu, resort berskala kecil ini turut membawa limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

Pengusaha Sarang Bee Resort, Helmmy Bunyam memberitahu resort itu bukan hanya lokasi percutian tetapi menjadi ruang untuk komuniti menjana pendapatan.

Pemiliknya, Helmmy Bunyam, 37, berkata resort tersebut membuka peluang kepada peniaga kecil termasuk penjaja makanan, pengusaha inap desa dan pemandu bot.

“Sarang Bee bukan sekadar tempat orang datang bercuti, tetapi ruang untuk komuniti menjana pendapatan,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini semalam.

Menurutnya, konsep pelancongan berasaskan alam semula jadi di Lubok Antu sememangnya menyokong ekonomi penduduk melalui aktiviti ekopelancongan dan lawatan rumah panjang.

Resort itu katanya memberi ruang kepada penduduk menjual makanan dan kraftangan serta menawarkan perkhidmatan rekreasi kepada pengunjung.

Sementara itu, pengusaha madu kelulut di resort itu, Norina Bunyam, 45, percaya pembangunan infrastruktur pelancongan yang sedang dirancang di situ akan memberi kesan positif kepada kawasan tersebut.

Sarang Bee Resort menyediakan ruang selesa dan luas untuk pengunjung bercuti bersama ahli keluarga.

“Jika promosi dibuat secara lebih sistematik dan kemudahan dipertingkatkan, lebih ramai pelancong akan datang dan ekonomi setempat pasti lebih rancak,” katanya.

Dengan sokongan berterusan kerajaan serta kerjasama komuniti, Sarang Bee Resort berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi pelancongan luar bandar di Lubok Antu.

Kehadiran resort itu membuktikan destinasi kecil juga mampu membawa makna besar kepada kesejahteraan komuniti.

-FN

Tinggalkan komen anda