
Laporan/foto: Municca Kiat (Ranau)
RANAU, 8 Mac (MalaysiaAktif) – Persatuan Unduk Ngadau Ranau dan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Ranau menganjurkan program kebajikan sempena Ramadan bagi memupuk semangat kebersamaan serta kerjasama komuniti, semalam.
Pengerusi Bersama Program merangkap Setiausaha PERKEP Ranau, Sub Inspektor Hermawati Ali berkata program tersebut menghimpunkan ahli kedua-dua persatuan serta keluarga anggota polis dalam usaha menyemarakkan nilai kebajikan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.
“Aktiviti seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara keluarga anggota polis dan masyarakat, malah dapat memupuk nilai kebersamaan serta semangat saling membantu dalam kalangan komuniti,” katanya ketika ditemui MalaysiaAktif.

Ahli PERKEP Ranau dan Persatuan Unduk Ngadau Ranau bergambar beramai-ramai selepas selesai program.
Pengerusi Persatuan Unduk Ngadau Ranau, Florensia Padasian, berkata kerjasama antara kedua-dua persatuan ini turut menjadi platform untuk memperkukuhkan hubungan antara ahli persatuan dan komuniti.
“Selain bergotong-royong, program ini turut membantu menyemarakkan semangat Ramadan melalui aktiviti kebajikan yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
-RJ-





