
Laporan/foto: Fasharina Kholil (Pengkalan Hulu)
PENGKALAN HULU, 17 Mac (MalaysiaAktif) – Trend bergambar di studio dilihat semakin popular dalam kalangan masyarakat menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, apabila orang ramai mengambil peluang merakam kenangan bersama keluarga dengan konsep fotografi yang lebih tersusun dan berkualiti.

Trend ini menjadi salah satu cara meraikan lebaran dan menjadi simpanan nostalgia bersama dengan keluarga tersayang
Tinjauan MalaysiaAktif mendapati studio fotografi di daerah ini mula menerima tempahan yang meningkat terutamanya dua hingga tiga minggu sebelum Aidilfitri, dengan kebanyakan pelanggan memilih sesi fotografi keluarga bertemakan suasana hari raya.
Mohd Jailani Hashim, 41 pengusaha MRP Studio berkata kebanyakan pelanggan hadir bersama keluarga lengkap dengan pakaian raya bagi mendapatkan gambar kenangan yang lebih menarik dan berkualiti.
Menurutnya, antara konsep yang sering menjadi pilihan ialah latar belakang rumah kampung, pelita, ketupat serta hiasan tradisional yang mampu menambahkan suasana Aidilfitri dalam gambar.
“Ramai pelanggan membuat tempahan awal bagi memastikan mereka mendapat slot yang sesuai, terutamanya pada hujung minggu kerana permintaan agak tinggi ketika musim perayaan,” katanya ketika ditemui di MRP Studio, Pekan Kroh, di sini semalam.

Jailani atau lebih mesra disapa dengan panggilan Jai ketika merakamkan gambar pelanggan
Studio fotografi juga menyediakan pelbagai prop seperti kerusi klasik, permaidani tradisional, bakul ketupat dan pelita bagi menambahkan seri pada gambar yang diambil.
Dalam pada itu, perkembangan media sosial turut menyumbang kepada peningkatan trend ini apabila ramai berkongsi gambar raya keluarga di platform digital selain mencetaknya sebagai kenangan.
“Trend ini juga didorong oleh keinginan masyarakat untuk memiliki gambar keluarga yang lebih berkualiti berbanding gambar biasa menggunakan telefon bimbit. Selain itu, gambar yang diambil di studio sering dijadikan kenangan jangka panjang, dicetak dan dipamerkan di rumah malah ada juga yang digunakan sebagai kad ucapan raya digital,” ujarnya.
Beliau menjangkakan trend bergambar di studio akan terus mendapat sambutan kerana bukan sahaja merakam detik indah bersama keluarga, malah menjadi kenangan bermakna yang boleh disimpan untuk jangka masa panjang.
-AA-






