
Laporan/foto: Noorhayati Ab Aziz (Kampar)/Bahagian Korporat SUK Perak
KAMPAR, 10 Mac (MalaysiaAktif) – Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Jamek Kampung Jeram, di sini kelmarin.

Keberangkatan tiba Sultan Perak ke Majlis Perasmian Masjid Kampung Jeram, kelmarin.
Pengerusi Masjid Ahmad Rafidi Abu Kadir, 57, menyifatkan kehadiran baginda sebagai bukti keprihatinan institusi diraja terhadap pembangunan syiar Islam di negeri ini.
“Kami berasa amat bertuah dan berbesar hati atas kesudian baginda mencemar duli merasmikan masjid ini. Kehadiran Sultan Perak bukan sahaja menyuntik semangat kariah, malah menjadi tanda sokongan padu terhadap institusi masjid sebagai pusat penyatuan ummah,” katanya.
Masjid Jamek Kampung Jeram yang mempunyai nilai sejarah tersendiri itu pada asalnya dibina di kawasan Gunung Tunggal, Simpang Keboi Jeram sebelum dipindahkan ke lokasi sekarang di KM 26 Kampung Jeram pada tahun 1914 bagi memudahkan urusan ibadah penduduk.
Seiring dengan pertambahan penduduk, sebuah bangunan masjid baharu telah dibina pada tahun 1982 bersebelahan bangunan asal bagi menampung kapasiti jemaah yang semakin meningkat.

Bacaan doa dan ayat suci al-Quran sebagai simbolik perasmian majlis.
Selain berfungsi sebagai pusat solat fardu dan solat Jumaat, masjid ini juga aktif sebagai pusat ilmu menerusi penganjuran kuliah agama, kelas al-Quran serta pelbagai program kebajikan dan kemasyarakatan.
Sebagai simbolik perasmian, Sultan Nazrin berkenan menanam pokok Bunga Tanjung (Mimusops elengi) di pekarangan masjid sebelum meluangkan masa berbuka puasa bersama kira-kira 350 orang tetamu.
Turut hadir Menteri Besar Perak Dato’ Seri Saarani Mohamad, barisan kepimpinan negeri, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta ahli jawatankuasa masjid.
-RI





