
Laporan/foto: Mohd Nizwan Mohd Daini (Kudat)
KUDAT, 12 Mac (MalaysiaAktif) – Program World Quran Hour diadakan di Dewan Serbaguna Perpustakaan Cawangan Kudat dengan penyertaan masyarakat setempat bagi menggalakkan penghayatan al-Quran dalam kehidupan seharian, di sini pada Rabu.
Pengerusi Badan Dakwah Daerah Kudat Malim Supre berkata al-Quran bukan sekadar dibaca malah perlu difahami, ditadabbur dan diamalkan supaya mampu membentuk masyarakat yang berakhlak serta bersatu padu.

Malim Supre menyampaikan ucapan perasmian sempena Program World Quran Hour bagi menggalakkan penghayatan al-Quran dalam kalangan masyarakat.
“Penghayatan terhadap al-Quran mampu membantu seseorang menjalani kehidupan dengan lebih terarah selain membentuk masyarakat yang mempunyai nilai akhlak yang tinggi.
“Umat Islam tidak seharusnya hanya membaca al-Quran sebaliknya perlu memahami maksud ayat-ayatnya, mentadabbur kandungannya serta mengamalkan ajarannya dalam kehidupan harian,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.
Seorang peserta, Siti Hajar Mustapha, 20, berkata pembacaan al-Quran memberi banyak manfaat termasuk membantu memudahkan urusan kehidupan selain memberi ketenangan.

Siti Hajar (tengah) bersama peserta yang menghadiri Program World Quran Hour di Dewan Serbaguna Perpustakaan Cawangan Kudat.
“Penghayatan terhadap kandungan al-Quran dapat meningkatkan kesedaran dan keinsafan dalam diri untuk menjadi insan yang lebih baik,” katanya.
Seorang lagi peserta, Nooraidil Izwan Noorazwan, 18, berkata masyarakat perlu sentiasa mengamalkan pembacaan al-Quran sebagai panduan dalam menjalani kehidupan seharian termasuk dalam urusan kerja dan sosial.
“Amalan membaca al-Quran sekurang-kurangnya satu muka surat sehari boleh dijadikan permulaan agar umat Islam tidak terlalu leka dengan perkara duniawi,” katanya.
Program World Quran Hour diadakan serentak di seluruh negara dengan mengetengahkan Surah Al-Muzzammil sebagai tema utama melibatkan penyertaan masyarakat di masjid, pejabat dan sekolah.
-RJ-





