
Laporan/foto: Ashikin Mustafa (Kota Tinggi)
KOTA TINGGI, 11 Mac (MalaysiaAktif) – Perbadanan Perpustakaan Awam Johor Cawangan Kota Tinggi menganjurkan program World #QuranHour (WQH) 2026 yang dilaksanakan serentak di seluruh negara sempena edisi ke-11 program tahunan bertaraf global bagi menggalakkan umat Islam membaca, memahami dan menghayati Al-Quran selama satu jam secara serentak di seluruh dunia, hari ini.

Sesi tadabbur Surah Al-Muzzammil setelah selesai bacaan Al-Quran
Program berkenaan dilaksanakan berteraskan konsep baca, faham, tadabbur dan amal bagi memperkasakan amalan tadabbur Al-Quran dalam kalangan masyarakat.
Sepanjang program berlangsung, para peserta yang terdiri daripada kakitangan perpustakaan dan pengunjung bersama-sama membaca ayat-ayat suci Al-Quran serta mengikuti sesi tadabbur yang menekankan penghayatan makna ayat dan pengajaran yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian selaras dengan misi MengQURANkan Bangsa, MengIKHLASkan Ummah.
Penganjur program, Rosnani Mohamed Aya, berkata penganjuran WQH tahun ini berteraskan Surah Al-Muzzammil yang menekankan kepentingan kekuatan rohani serta pembinaan diri sebagai asas dalam membentuk masyarakat yang berakhlak dan berdaya tahan.

Peserta menyertai program World #QuranHour 2026 yang dilaksanakan serentak di seluruh dunia di Perbadanan Perpustakaan Awam Johor Cawangan Kota Tinggi
Menurut beliau, pemilihan surah tersebut amat bertepatan dalam usaha mengingatkan masyarakat bahawa perubahan dan pembangunan yang positif bermula daripada pembinaan diri yang mantap dari segi rohani dan akhlak.
“Program WQH pada hari ini diharap dapat memberi kesedaran kepada semua pihak tentang pentingnya membaca, memahami serta mengamalkan ajaran Al-Quran dalam kehidupan seharian.
“Semoga program ini dapat menyemai rasa cinta terhadap Al-Quran dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penyertaan lebih meluas khususnya dalam kalangan generasi muda.
-AA-





