Skip to main content
Berita TempatanSarawak

120 Penduduk Kampung Hulu Sri Aman Gotong-Royong Bersih Tanah Perkuburan

By 26 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)

SRI AMAN, 26 April (MalaysiaAktif) – Kira-kira 120 peserta menyertai program gotong-royong membersih dan menceriakan Tanah Perkuburan Islam Kampung Hulu Sri Aman bagi menzahirkan tanggungjawab terhadap tuntutan fardhu kifayah, di sini semalam.

Program tersebut melibatkan kerjasama erat penduduk kampung bersama 20 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Sri Aman dalam melaksanakan kerja pembersihan serta membaik pulih persekitaran.

Penghulu Kampung Hulu Sri Aman, Zamahari Morshidi berkata program itu bertindak sebagai medium memperkukuh ukhuwah serta memupuk kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab bersama dalam menguruskan hal ehwal kematian.

“Tanah perkuburan mengingatkan kita tentang hakikat hidup dan mati, justeru menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan ia sentiasa terjaga sebagai tanda penghormatan,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini semalam.

Selain aktiviti fizikal, program turut diisi dengan majlis bacaan tahlil umum yang diketuai oleh Imam Jaafar Radele bagi mendoakan kesejahteraan roh yang telah disemadikan di kawasan berkenaan.

Zamahari turut menyarankan agar lebih ramai golongan belia terlibat secara aktif dalam aktiviti pengurusan fardhu kifayah bagi melahirkan generasi yang bersedia memikul amanah masyarakat.

Menurut Zamahari, penglibatan generasi muda amat penting bagi memastikan kesinambungan tanggungjawab sosial dan agama dalam komuniti setempat dapat diteruskan.

Program seumpama itu diharap dapat dilaksanakan secara berkala sebagai usaha berterusan memelihara kesucian kawasan perkuburan di samping mengeratkan silaturahim antara penduduk.

-RJ-

Tinggalkan komen anda