Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Ibadah Korban 1447H: Kerajaan Selangor Kekal Peruntukan RM6 Juta, Manfaat Surau Jumaat

By 26 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)

SHAH ALAM, 26 April (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Selangor mengekalkan peruntukan bagi Program Ibadah Korban Tahun 1447H sebanyak RM6 juta bagi memastikan kesinambungan agihan buat rakyat yang memerlukan.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim berkata meskipun berdepan dengan situasi ekonomi semasa, program tahun ini memperlihatkan peningkatan jumlah bekalan lembu bagi memenuhi permintaan agihan di seluruh negeri.

Menurutnya, berlaku perubahan pada komposisi jumlah ternakan bagi tahun 2026 ini apabila jumlah lembu meningkat kepada 800 ekor berbanding 700 ekor pada tahun lalu.

“Bilangan kambing pula dikurangkan kepada 600 ekor berbanding 1,000 ekor sebelumnya. Ternakan yang dibekalkan adalah daripada jenis campuran (cross) seperti Brahman Cross dan lembu import yang telah melalui proses kuarantin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Baucar Program Korban Negeri Selangor 2026 di Dewan Jubli Perak Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, di sini semalam.

Katanya, proses perolehan dilaksanakan secara tender terbuka untuk memastikan pembekal yang kompeten terpilih.

“Bagi mengelakkan pertindihan dan memastikan agihan yang adil, kerajaan negeri memfokuskan sumbangan kepada surau-surau Jumaat. Langkah ini diambil memandangkan kebanyakan masjid besar biasanya sudah mempunyai jumlah lembu korban yang mencukupi daripada kariah masing-masing,” katanya.

-AA-

Tinggalkan komen anda