
Laporan/foto: Nur Syahida Che Rus (Yan)
YAN, 8 April (MalaysiaAktif) – Sebanyak 18 agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat telah menyertai Program Misi Hijau Pulau Songsong: Pemuliharaan Karang & Habitat Marin di Pulau Songsong, di sini semalam.

Simbolik penanaman pokok sebagai usaha memperindah lanskap Pulau Songsong.
Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Dato’ Dr. Muhamad Sade Mohamad Amin berkata tujuan program itu diadakan adalah bagi memelihara keindahan pulau serta menjadikannya sebagai destinasi pelancongan yang menarik menerusi kerjasama pelbagai pihak.
“Penyertaan pelbagai agensi turut memperlihatkan komitmen bersama dalam memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara.
“Usaha ini juga diharap mampu memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga alam sekitar, sekali gus mengangkat daerah Yan sebagai lokasi pelancongan berdaya saing di peringkat global,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.

Tiup biodegradasi terumbu karang yang dicipta simbol perkataan KPKT dilepaskan di dalam laut di Pulau Songsong.
Program itu antara lain katanya menyasarkan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemuliharaan alam sekitar serta memperkukuh jalinan kerjasama strategik antara agensi kerajaan, NGO dan komuniti setempat dalam usaha melindungi ekosistem marin secara berterusan.
Antara pengisian utama program termasuk aktiviti pemuliharaan terumbu karang, penanaman pokok bagi memperindah kawasan pulau, serta penglibatan komuniti dalam inisiatif menjaga habitat marin.
-FN-





