Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

31 Warga PPDK Maran Sejahtera Terima Bantuan One-Off

By 17 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syafiq Jamloh (Maran)/Pejabat Penyelaras Dewan Negeri Luit

MARAN, 17 April (MalaysiaAktif) – Seramai 31 warga Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Maran Sejahtera di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Luit menerima bantuan secara one-off daripada Kerajaan Negeri Pahang sebagai inisiatif meringankan beban golongan tersebut.

Dato’ Jisshaelyz ketika menyampaikan sumbangan kepada salah seorang Peserta PPDK Maran Sejahtera

Menurut Pengasas merangkap Pengerusi PPDK Maran Sejahtera, Mohamad Rozi Mukhtar, sumbangan bantuan tersebut melibatkan 26 orang peserta, lima orang penyelia dan petugas pusat berkenaan.

“Terima kasih diucapkan kepada Menteri Besar Pahang atas keprihatinan terhadap anak-anak kelainan upaya (OKU) serta petugas di sini. Bantuan ini sangat bermakna buat kami semua,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menyatakan harapan agar para peserta PPDK tersebut dapat dipertimbangkan untuk menerima kad kesihatan Kasih Makmur memandangkan mereka tergolong dalam kategori OKU.

Beliau juga turut menyeru masyarakat agar mengubah stigma negatif dan berhenti menyisihkan golongan istimewa ini, sebaliknya memberikan sokongan dan galakan yang berterusan.

Mohd Napi bersama anaknya yang turut menerima bantuan one-off tersebut

Bagi bapa kepada salah seorang peserta, Mohd Napi Dollah, 61, bantuan ini membuktikan kerajaan negeri sentiasa cakna terhadap keperluan rakyat.

“Bantuan one-off ini sedikit sebanyak dapat membantu menampung kos barang keperluan anak saya yang kini berusia 11 tahun,” jelasnya.

Nada syukur yang sama turut disuarakan oleh petugas PPDK, Natasha Abdul Majid, 39, yang berharap agar sumbangan sedemikian dapat diteruskan pada masa hadapan memandangkan impaknya yang besar terhadap kebajikan warga PPDK.

Terdahulu, sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Penyelaras DUN Luit, Dato’ Jisshaelyz Hamzah, pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang berlangsung di Arena Y.A.M Tengku Muda Pahang, Maran, di sini kelmarin.

-AA-

Tinggalkan komen anda