
Laporan/foto: Syamilah Yusman (Johor)/Facebook Jabatan Imigresen Negeri Johor
JOHOR BAHRU, 23 April (MalaysiaAktif) – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan seramai 37 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen dalam operasi penguatkuasaan di sebuah pusat hiburan di kawasan Stulang Laut, di sini kelmarin.

Warga asing ditahan JIM Johor dalam operasi di pusat hiburan Stulang Laut kerana tiada dokumen perjalanan sah.
Pengarah Imigresen Negeri Johor Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, berkata operasi yang bermula pada jam 11 malam itu melibatkan sepasukan pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan Negeri Johor terhadap premis yang dipercayai menggaji serta melindungi warga asing tanpa dokumen perjalanan yang sah.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki warganegara Filipina, tiga lelaki Bangladesh, dua lelaki India, tiga lelaki Pakistan, tiga lelaki Indonesia serta empat lelaki China.
“Turut ditahan ialah 16 wanita Thailand, dua wanita Filipina dan tiga wanita Vietnam yang dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan di pusat hiburan berkenaan, berusia antara 20 hingga 53 tahun,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Beliau, berkata kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan telah ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika bagi tujuan siasatan serta tindakan lanjut.
“JIM akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras penyelewangan dan memastikan keselamatan serta integriti negara terus terpelihara,” tegasnya.
-RI





