
Laporan/foto: Kamarulzaman Ahmad / Mohammad Izwan Nazahar (Dalat)
DALAT, 23 April (MalaysiaAktif) – Pusat Pemprosesan Baja Organik dan Makanan Ternakan Dalat di Kampung Kekan kini muncul sebagai hab penghasilan produk bioteknologi pertanian yang berpotensi menjana ekonomi luar bandar.
Pusat tersebut merupakan projek di bawah Jawatankuasa Penyelaras Bersama Kerajaan Sarawak dan PETRONAS (JCC) yang menekankan pembangunan komuniti berasaskan ekonomi kitaran.
Fokus utama operasi adalah melalui pembiakan Lalat Askar Hitam atau Black Soldier Fly (BSF) bagi menukar sisa organik kepada bahan pertanian bernilai tinggi.
Keladi bunting dari Sungai Batang Oya yang sebelum ini merupakan tumbuhan invasif kini dimanfaatkan sebagai bahan biojisim utama dalam penghasilan larva BSF.
Penggunaan teknologi tersebut membolehkan proses pereputan bahan organik dipercepatkan daripada tempoh tiga bulan kepada hanya lima hari sekali gus meningkatkan kecekapan pengeluaran.
Pengerusi pusat Muhammad Aznie Abdullah, 55, berkata fasiliti itu mula beroperasi sepenuhnya pada tahun 2025 dengan memfokuskan kepada penghasilan baja gred premium melalui kaedah semula jadi.
“Pusat ini diharapkan mampu menjadi pemangkin utama kepada transformasi industri asas tani di daerah Dalat pada masa hadapan,” katanya kepada Malaysia Aktif semalam.
Beliau menjelaskan produk utama yang dihasilkan merangkumi baja organik berkualiti tinggi serta larva kering sebagai sumber protein alternatif untuk industri akuakultur.
Pekerja pusat Rina Asin, 53, berkata penggunaan baja organik hasil sampingan larva BSF terbukti efektif untuk kesuburan tanaman selain membantu petani mengurangkan kos operasi.
Inisiatif berkenaan dilihat mampu memperkasa komuniti Dalat sebagai pengeluar utama produk bioteknologi yang kompetitif dalam sektor agromakanan negara.
-RJ-





