
Laporan/foto: Syamimi Aaizag Ibrahim (Pendang)
PENDANG, 23 April (MalaysiaAktif) – Aktiviti bersukan amat penting khususnya kepada golongan wanita dalam usaha meningkatkan tahap kesihatan fizikal dan mental di samping memupuk amalan gaya hidup sihat.
Penolong Setiausaha Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Kecil Daerah Pendang, Norazlina Mohamed Nor, berkata program sukan yang melibatkan aktiviti brisk walk (berjalan laju) dan permainan pickleball (bola pikel) pada hari ini sebagai usaha menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan ahli.

Ahli PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Pendang menunjukkan kebolehan bermain pickleball.
“Ini menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli PUSPANITA serta memupuk kesedaran terhadap kepentingan kesihatan fizikal dan mental,” katanya.
Program yang diadakan di Gelanggang Serbaguna, Majlis Daerah Pendang ini mendapat sambutan menggalakkan daripada para peserta yang hadir dengan penuh semangat dan komitmen.
“Ahli jawatankuasa mencadangkan permainan pickleball kerana sukan ini kini semakin popular sebagai salah satu aktiviti rekreasi yang sesuai untuk semua peringkat umur.
“Hari ini merupakan kali pertama kami bermain pickleball bersama, dan program ini berkemungkinan akan dijadikan aktiviti bulanan PUSPANITA bagi menggalakkan penyertaan aktif dalam kalangan ahli,” ujarnya.
Beliau berharap agar penganjuran program seumpama ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan warga PUSPANITA sentiasa aktif, sihat dan sejahtera dalam melaksanakan tanggungjawab harian masing-masing.
-RI





