Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

60 Penjawat Awam Terima Kunci Kediaman PPAM MADANI Desa Park Chemor

By 5 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Siti Hajar/Nur Imanina (Perak)

IPOH, 5 April (MalaysiaAktif) – Seramai 60 penjawat awam menerima kunci kediaman masing-masing menerusi inisiatif Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) MADANI di Desa Park Chemor, di sini semalam.

Shamsul Azri menyampaikan kunci kediaman secara simbolik kepada salah seorang penerima sebagai tanda rasmi pemilikan rumah di bawah program PPAM MADANI, yang menawarkan kediaman mampu milik di lokasi strategik di Chemor.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataannya memaklumkan projek perumahan itu merupakan manifestasi Kerajaan MADANI dalam merealisasikan usaha membantu penjawat awam memiliki kediaman sendiri.

Majlis penyerahan kunci disempurnakan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar sempena Program MADANI Rakyat 2026 Zon Perak yang berlangsung selama tiga hari di Bulatan Sultan Azlan Shah, bermula kelmarin.

Menurut kenyataan itu, PPAM MADANI Desa Park Chemor yang terletak dalam kawasan Parlimen Tambun itu telah siap sepenuhnya pada 28 Jan tahun lepas, menawarkan kediaman mampu milik di lokasi strategik.

“Sehingga 31 Mac lepas, sebanyak 59,877 unit rumah menerusi inisiatif PPAM disediakan di seluruh negara melalui kerjasama strategik awam-swasta.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 94 peratus penerima manfaat terdiri daripada penjawat awam berpendapatan bawah RM6,000 sebulan sekali gus menunjukkan program ini memenuhi matlamat membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” menurut kenyataan itu.

Penjawat awam yang terpilih bergambar bersama simbolik kunci kediaman selepas menerima rumah di bawah inisiatif PPAM MADANI di Desa Park Chemor.

Kenyataan itu turut memetik data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) yang menunjukkan purata harga rumah di Malaysia pada 2025 mencecah RM486,070 seunit, sekali gus memberi cabaran kemampuan pemilikan khususnya di bandar utama seperti Selangor dan Kuala Lumpur.

“Melalui inisiatif PPAM, penjawat awam mendapat manfaat memiliki kediaman di Desa Park Chemor pada harga lebih rendah daripada pasaran iaitu bermula RM265,150 bagi rumah berkeluasan 1,395 kaki persegi,” kata kenyataan itu.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) Zaitenna Wan Nasir dan Pengarah Unit PPAM Izwan Nuzaihan Jamil.

-RI

Tinggalkan komen anda