
Laporan/foto: Sarah Nur/Mohammad Ezwandi (Perak)
IPOH, 5 April (MalaysiaAktif) – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terus berusaha memastikan rumah mampu milik kekal dapat diakses rakyat walaupun harga bahan binaan global meningkat, kata menterinya Nga Kor Ming.

Nga Kor Ming ketika menyampaikan ucapan.
Kementerian katanya turut memberi perhatian kepada golongan tanpa pendapatan tetap bulanan, termasuk pekerja gig, yang sukar mendapatkan pinjaman perumahan melalui saluran konvensional.
“Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) turut disediakan kepada mereka yang tidak mempunyai slip gaji bulanan seperti pekerja gig bagi membolehkan mereka memiliki rumah sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 Perak yang mencatatkan sambutan luar biasa apabila mencecah jumlah 149,148 orang pengunjung, di Bulatan Sultan Azlan Shah, di sini setakat jam 10 malam tadi.
Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim hadir merasmikan program berkenaan.
Pada majlis berkenaan, Anwar menyampaikan sumbangan Sentuhan Kasih KPKT melibatkan tiga inisiatif utama perumahan iaitu Program Baik Pulih Rumah kepada dua penerima dari Kampung Seri Kinta, Ipoh dengan bantuan RM20,000 setiap seorang serta Program Bina Baharu Rumah bagi seorang penerima di Pasir Pinji.
-RI





