Laporan/foto: Allyshia L. (Kuantan)/Sh.Nurrul (Pahang)
KUANTAN, 4 Apr (MalaysiaAktif) – Enam negeri dikenal pasti sebagai negeri perintis untuk menerima kemudahan digital berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) bagi memperluas pendedahan teknologi itu kepada pelajar dan belia di seluruh negara.
Anuwar ketika berucap dalam program tersebut.
Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata enam negeri terlibat ialah Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Pulau Pinang melibatkan sasara 3,000 pelajar untuk pendedahan kepada AI, pemikiran kritis dan inovasi digital.
“Semua pelajar harus lebih terdedah dengan kemudahan AI (Kecerdasan Buatan). Ini termasuk di institusi pengajian di negara kita dan institusi pengajian Islam.
“Jadi, sebagai langkah awal, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan memberikan kemudahan digital di institusi perintis enam negeri (ini),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Himpunan Anak Pahang MADANI yang dihadiri kira-kira 7,000 anak Pahang di perkarangan UTC Kuantan, di sini semalam.
Sebahagian Anak Pahang yang hadir ke Himpunan MADANI 2026 di Perkarangan UTC Kuantan.
Program himpunan Anak Pahang MADANI 2026 merupakan inisiatif kerajaan sebagai platform strategik untuk menyampaikan perkhidmatan, inisiatif dan program kerajaan secara terus kepada pelbagai lapisan masyarakat melalui penganjuran program yang menghimpunkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.
Anwar dalam pada itu turut mengumumkan peruntukan segera bagi kerja-kerja naik taraf gelanggang futsal, termasuk di Kampung Bukit Bay, dengan kos RM600,000, serta kelulusan RM500,000 untuk pembinaan dewan pembelajaran baharu di Pusat Pendidikan Ribat Al-Mustafa bagi kegunaan pelajar-pelajar tahfiz.