
Laporan/foto: Radiah Rahim/Sh. Nurrul (Pahang)
KUANTAN, 4 April (MalaysiaAktif) – Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim merasmikan MADANI Mart Cawangan Indera Mahkota 8, semalam yang merupakan cawangan pertama seumpamanya di negara ini.

Anwar menandatangi plak perasmian kedai runcit MADANI Mart yang pertama di Malaysia.
Inisiatif strategik kerajaan yang diterajui Yayasan MADANI itu dilihat sebagai langkah memperkukuh kesejahteraan rakyat, khususnya dalam menangani cabaran kos sara hidup secara lebih menyeluruh.
Mengangkat konsep kedai komuniti, MADANI Mart menawarkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan serta mudah diakses rakyat, selaras dengan slogan ‘Kedai Runcit Harga Rahmah’.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut meluangkan masa meninjau operasi premis dan beramah mesra dengan pengunjung.
Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr. Fuziah Salleh.

Dr. Fuziah ketika menyampaikan ucapan di majlis perasmian tersebut.
Sementara itu, Fuziah dalam ucapannya berkata, MADANI Mart bukan sekadar pelengkap kepada inisiatif sedia ada, sebaliknya merupakan langkah susulan bagi memastikan manfaat harga rahmah dapat dinikmati secara lebih konsisten, tersusun dan dekat dengan rakyat.
Beliau turut memaklumkan sasaran kerajaan untuk mewujudkan sekurang-kurangnya satu MADANI Mart di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), melibatkan 640 premis di seluruh negara dalam tempoh dua tahun.
“Langkah ini penting bagi memastikan keterjangkauan barangan asas dapat dinikmati secara lebih meluas termasuk di kawasan luar bandar dan separa bandar,” katanya.
Tambahnya, inisiatif berkenaan diyakini mampu memberi impak positif dalam membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat, di samping membuka peluang keusahawanan dalam ekosistem peruncitan yang lebih tersusun.
-RI





