Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Angin Kencang, Hujan Lebat Landa Kampung Melayu Majidee

By 6 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal (Johor Bahru)/Facebook Hairi Mad Shah

JOHOR BAHRU, 6 Apr (MalaysiaAktif) – Angin kencang berserta hujan lebat melanda kawasan Kampung Melayu Majidee di sini petang semalam hingga menyebabkan kerosakan pada beberapa premis perniagaan dan kediaman penduduk.

Mohd Hairi (baju putih bertopi) bertemu penduduk yang terjejas akibat daripada bencana berkenaan semasa turun padang ke lokasi kejadian.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Mohd Hairi Md Shah berkata kejadian kira-kira pukul 4 petang itu mengakibatkan beberapa struktur bangunan mengalami kerosakan.

“Antara kerosakan yang dilaporkan termasuk kepingan zink tercabut, kayu bumbung patah, kerosakan pada struktur bahan mudah pecah dan lain-lain,” katanya ditemui selepas turun padang meninjau kawasan terjejas di kampung berkenaan, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin itu berkata pihaknya telah menghubungi agensi berkaitan bagi menjalankan kerja pembersihan serta menyalurkan bantuan kepada mangsa terjejas.

“Keutamaan ketika ini adalah memastikan keselamatan penduduk terjamin serta mempercepatkan proses pemulihan supaya aktiviti harian dapat diteruskan seperti biasa,” katanya.

Antara kerosakan selepas berlakunya angin ribut dan hujan lebat yang melanda Kampung Melayu Majidee, petang semalam.

Sementara itu, beliau turut menyeru orang ramai terutama penduduk di Kampung Melayu Majidee agar sentiasa berwaspada, khususnya ketika keadaan cuaca tidak menentu serta mematuhi arahan pihak berkuasa.

“Saya menyeru semua pihak supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa mengikuti maklumat terkini daripada pihak berkuasa berkaitan situasi cuaca semasa,” katanya.

Tambah beliau, kebajikan penduduk yang terkesan akan terus diberi perhatian bagi memastikan bantuan sewajarnya dapat disalurkan dengan segera.

-RI

Tinggalkan komen anda