Skip to main content
Berita UtaraBerita TempatanPerak

Perak Peruntu RM393,000 Untuk Dana Kreatif Perak@PORT Edisi 2025/2026

By 9 April 2026Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: SitiHajar/Mohammad Ezwandi (Perak)

IPOH, 9 April (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Perak menerusi People of Remarkable Talents (PORT) memperuntukkan RM393,000 bagi menjayakan Dana Kreatif Perak@PORT (DKP) edisi 2025/2026.

Saarani Mohamad menyampaikan dana kepada penerima DKP 2025/2026 sebagai sokongan kepada pembangunan karya kreatif berkualiti tinggi.

Menteri Besar Dato’ Seri Saarani Mohamad, berkata inisiatif yang diperkenalkan sejak 2019 itu bertujuan menyokong penggiat seni dan usahawan kreatif tempatan dalam menghasilkan karya berkualiti tinggi sehingga mampu mengangkat nama Perak ke peringkat antarabangsa.

“Bagi edisi kali ini, sebanyak 123 permohonan telah diluluskan melibatkan kategori Seni Visual, Seni Muzik dan Seni Persembahan bermula 2019 dengan penyaluran peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.82 juta melalui dana ini.

“Sumbangan penggiat seni amat penting dalam memperkayakan warisan budaya serta membentuk nilai dan identiti masyarakat kita,” katanya ketika menyempurnakan majlis penyerahan dana tersebut di Foyer Pejabat Menteri Besar Perak, di sini semalam.

Pengurus Besar PORT Nur Hanim Dato’ Mohamed Khairuddin berkata proses permohonan edisi ini dilaksanakan sepenuhnya secara digital melalui Sistem Pangkalan Data Seni Kreatif Perak bagi memastikan pengurusan data yang lebih sistematik dan teratur.

“Setiap permohonan telah melalui proses saringan dan penilaian yang teliti oleh Panel Penasihat DKP yang terdiri daripada pakar akademik dari Universiti Malaya, dan pakar rujuk bidang seni audio-visual dan perfileman industri serta Kurator Kanan, Balai Seni Negara,” katanya.

Logenthiran Manogaran menunjukkan mock cheque bagi projek filem pendek Anomaly di bawah kategori Seni Visual, yang bakal menampilkan elemen kesan khas visual (VFX).

Beliau berkata keberkesanan dana itu terbukti menerusi pencapaian luar biasa penerima terdahulu, antaranya pasukan deVokalis dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang merangkul pelbagai pingat emas di Medan World Choral Festival 2025 dan kejayaan Adkarianz Marching Band dari Gerik yang muncul juara dalam National Band Competition (NATCOMP) 2025.

Sementara itu, penerima dana kategori Seni Visual Logenthiran Manogaran, 30, berkata bantuan ini menjadi pemangkin utama dalam merealisasikan visi artistik yang memerlukan kos teknikal yang tinggi, khususnya bagi penghasilan kesan khas visual (VFX).

“Dana ini sangat membantu saya untuk menjayakan elemen VFX dalam filem pendek saya iaitu Anomaly, terutamanya untuk babak white shot yang memerlukan kesan cuaca hujan yang spesifik di kawasan yang panas,” katanya.

Penganjuran program di bawah dana ini turut diperluaskan ke luar kawasan Lembah Kinta merangkumi daerah seperti Kuala Kangsar, Taiping, Tanjung Malim, dan Parit Buntar bagi memastikan impak seni kreatif dirasai oleh seluruh komuniti di Perak.

-RI

Tinggalkan komen anda