
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 24 April (MalaysiaAktif) – Seorang buruh dipenjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas mengaku bersalah melakukan khianat dengan api sehingga memusnahkan dua rumah di Kampung Hulu Lemanak pada Sabtu.
Hakim Intan Nurul Fareena Zainal Abidin menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohd Taib Ahmad, 50, dengan hukuman bermula dari tarikh sabitan.
Ketua Polis Daerah Sri Aman Supt Dennis Bunyam berkata dalam kejadian pada 3.17 pagi itu, tindakan tertuduh telah menyebabkan kebakaran besar yang memusnahkan harta benda penduduk setempat.
“Kebakaran tersebut memusnahkan dua rumah kediaman serta melibatkan tiga motosikal dan sebuah kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melakukan khianat bagi memastikan keselamatan harta benda awam terpelihara.
“Hukuman yang dijatuhkan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan ini diharap dapat memberi mesej jelas kepada masyarakat supaya tidak bertindak mengikut emosi sehingga melanggar undang-undang negara,” katanya.
-RJ-





