
Laporan/foto: Izarina KMI (Raub)/Perpustakaan Awam Daerah Raub
RAUB, 24 April (MalaysiaAktif) – Perpustakaan Awam Daerah Raub menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan warga sekolah dalam Program ‘Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit’, di sini semalam.

Para peserta tekun membaca bersama rakan-rakan sempena Program ‘Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit’.
Program dengan kerjasama dan berlangsung di Sekolah Kebangsaan Raub Indah itu melibatkan penyertaan seramai 270 peserta terdiri daripada murid, guru serta warga sekolah yang bersama-sama meluangkan masa selama 10 minit untuk aktiviti membaca.
Menurut salah seorang peserta, Wan Nur Nilam Sari Mohd Yusman, 12, program tersebut sangat menyeronokkan kerana memberi peluang kepada para peserta untuk membaca bersama rakan-rakan selain menyertai pelbagai aktiviti menarik yang disediakan.
“Selain membaca, kami juga dapat mencuba pelbagai permainan dan pengalaman ini memang sangat menyeronokkan,” katanya kepada Malaysia Aktif.

Murid-murid turut teruja menyertai pelbagai aktiviti interaktif sempena Program ‘Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit’.
Antara aktiviti santai yang disediakan ialah Have Fun With Robotic & Indoor Game yang merangkumi permainan Boxing Robot, Soccer Robot, Virtual Reality, Spelling Competition Game, Snake & Ladders serta Jengga bagi menarik minat murid terhadap pembelajaran interaktif.
Selain sesi membaca, program turut diisi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti sesi perkongsian Bacaan Kegemaran Saya yang melibatkan wakil dari peringkat prasekolah, Tahap 1, Tahap 2, guru-guru serta Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP).
-RI





