
Laporan/foto: Mohd Sabri Sailus (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 23 April (MalaysiaAktif) – Bermula dengan rasa takut, Fred Peter kini berjaya mengatasi perasaan itu apabila telah menderma darah sebanyak 275 kali dan bertekad untuk menjadi penderma sepanjang hayatnya.
Anak jati Desa Permai Kampung Nerinang, Kota Belud berusia 51 tahun itu pertama kali menderma darah di Pusat Darah Negara (PDN) dua dekad yang lepas.
Beliau kini disenaraikan sebagai salah seorang penderma darah aferesis (kaedah menderma komponen darah yang khusus sahaja, sama ada plasma, platelet, atau kedua-duanya sekali) di Jabatan Perubatan Transfusi (JPT), Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu.
Fred ketika ditemui Malaysia Aktif pada Program Derma Darah, di sini semalam berkata beliau sedar bekalan darah hanya boleh diperolehi melalui proses pendermaan dan hakikat itu menjadi pendorong untuk dirinya terus membantu pesakit yang memerlukan.
“Sekarang saya sudah tidak lagi takut untuk melakukan pendermaan itu demi membantu dan menyelamatkan lebih banyak nyawa orang lain. Dulu memang takut lebih-lebih lagi umur pun sudah 30 tahun baru nak menderma, tetapi saya beranikan diri sebab memikirkan ramai pesakit yang memerlukan bantuan.
“Sekarang, bila-bila masa sahaja saya sentiasa bersedia untuk menderma plasma apabila dipanggil oleh pihak hospital,” katanya.
Tambahnya, sebagai penderma darah aferesis beliau tidak pernah menganggap proses tersebut sebagai beban sebaliknya satu tanggungjawab sosial yang perlu dilaksanakan.
“Pendermaan darah aferesis ini boleh dilakukan setiap dua minggu atau sekurang-kurangnya sebulan sekali. Setiap kali menderma, ia bukan sekadar rutin, tetapi satu peluang untuk memberi harapan dan kehidupan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Untuk makluman, keperluan terhadap komponen darah seperti plasma dan platelet amat kritikal khususnya bagi pesakit transplantasi, kanser serta penyakit hematologi seperti leukemia.
-RJ





