
Laporan/foto: Herlina Ainizawati Zakaria (Selangor)
SHAH ALAM, 23 April (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Selangor mengaktifkan Jawatankuasa Keselamatan Daerah (JKD) bagi menangani isu pencerobohan tanah termasuk pembinaan rumah ibadat tidak sah di atas tanah milik persendirian secara tersusun tanpa sebarang konflik.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pendekatan tersebut dilaksanakan bagi memastikan penyelesaian dapat dicapai melalui kerjasama pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa.
“Kita tidak mahu pemilik tanah perlu naik mahkamah dan tanggung bayaran peguam. Buat masa ini, selain aktifkan JKD, kita juga sedang mendengar pandangan daripada peguam Islam untuk bantu kembalikan semula tanah yang telah diceroboh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong Dr. Mohd Zamri Mohd Zainuldin pada Sidang Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.
Dalam pada itu Amirudin turut memaklumkan selain isu pencerobohan tanah melibatkan rumah ibadat tidak sah, Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (LIMAS) turut meneliti kewujudan tempat sembahan kecil yang berpotensi mengganggu ketenteraman awam.
Sementara itu, menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau, Amirudin menjelaskan JKD berperanan sebagai platform penyelarasan di peringkat daerah yang menghimpunkan pelbagai agensi berkaitan bagi meneliti, memudah cara dan mencari jalan penyelesaian secara teratur dan berhemah.
Menurutnya, pendekatan tersebut penting bagi memastikan setiap pertelingkahan dapat ditangani dengan baik serta mengelakkan mana-mana pihak mengambil tindakan sendiri di luar batas undang-undang.
“Fungsi JKD bukan sekadar responsif, tetapi juga pencegahan, memastikan sebarang isu melibatkan tanah, termasuk tanah milik persendirian atau tanpa tuntutan jelas, dapat diurus secara harmoni, berlandaskan undang-undang serta mengambil kira sensitiviti kaum dan agama.
“Kerajaan negeri komited memastikan setiap penyelesaian dicapai secara adil, tertib dan berhemah demi memelihara keharmonian serta kestabilan negeri,” katanya.
-FN





