Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Golden Melon Fertigasi Pekan Nanas Mula Tuai Hasil

By 10 April 2026April 15th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Shah Hood (Johor)/Facebook Zahari Sarip

PEKAN NANAS, 10 April (MalaysiaAktif) – Projek tanaman fertigasi Golden Melon di Pengkalan Raja, Pekan Nanas yang diusahakan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pekan Nanas kini mula mengeluarkan hasil, sekali gus membuktikan keberkesanan penggunaan teknologi moden dalam sektor pertanian.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri  Johor Datuk Zahari Sarip berkata projek berkenaan mendapat sokongan kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan peruntukan RM250,000 pada tahun lepas.

“Saya telah meninjau Rumah Perlindungan Hujan (RPH) yang dinamakan sebagai Kak Hasnah sebelum ini dan seterusnya giliran RPH Rohani untuk proses penuaian,” katanya selepas melawat tiga RPH di situ dengan kapasiti 3,000 polibeg, semalam.

Beliau berkata selain meningkatkan produktiviti hasil, inisiatif tersebut turut menjadi contoh kepada penggunaan teknologi moden dalam sektor pertanian yang lebih efisien dan berdaya saing selaras dengan Agenda Keterjaminan Makanan Negeri Johor.

“Terima kasih kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Johor dan PPK Pekan Nanas atas komitmen dalam memacu pembangunan sektor pertanian negeri termasuk melalui aktiviti pemasaran kelapa sawit, penyediaan input pertanian, peladang outlet serta projek tanaman sayur-sayuran.

“Usaha ini diharap dapat terus diperkasa agar manfaatnya dapat dinikmati oleh lebih ramai penduduk setempat khususnya dalam kalangan ahli peladang di kawasan berkenaan,” katanya.

-FN

Tinggalkan komen anda