Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Lyne Imbang Dunia Seni, Keusahawanan Perkasa Ekonomi Lokal

By 10 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Philip Johnny (Miri)

MIRI, 10 April (MalaysiaAktif) – Usahawan kecil terus menjadi pemangkin penting dalam menggerakkan ekonomi domestik serta memperkukuh kesejahteraan masyarakat di peringkat akar umbi dalam arus pembangunan pesat Sarawak.

Golongan ini bukan sahaja menyumbang kepada kelangsungan ekonomi mikro, malah turut memperkasa komuniti setempat melalui pemasaran produk beridentitikan lokal.

Usahawan dari Pekan Batu Niah, Janie Suan, 33, atau lebih dikenali sebagai Lyne berjaya mengimbangi dunia seni dan keusahawanan menerusi jualan hasil bumi di Pasar Petang Taman Tunku.

Penyanyi lagu Iban yang pernah popular dengan lagu ‘Nuan Nyukat Aku Enggau Pemajik’ itu kini merupakan pembekal hasil bumi utama di kawasan berkenaan.

Beliau menjadikan kulat sawit sebagai produk utama yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk bandar ekoran permintaan tinggi terhadap makanan organik.

“Permintaan terhadap kulat sawit di Miri sangat tinggi dan stok yang dibawa biasanya habis terjual dalam masa singkat,” katanya ketika ditemu bual di sini semalam.

Lyne turut mempelbagaikan sumber pendapatan melalui penghasilan kasam ensabi atau sawi jeruk menggunakan resipi turun-temurun bagi meningkatkan nilai tambah produk.

“Penghasilan kasam ensabi bukan sahaja memanjangkan jangka hayat sayur, tetapi juga memberi nilai tambah agar lebih berdaya saing di pasaran,” katanya.

Kecekapan pengurusan perniagaan kecil tersebut turut mewujudkan rantaian ekonomi mampan antara penduduk bandar dan masyarakat luar bandar di Batu Niah.

Inisiatif berkenaan secara tidak langsung meningkatkan pendapatan komuniti setempat apabila permintaan terhadap hasil pertanian kampung terus meningkat.

Kegigihan beliau membuktikan bakat seni boleh digabungkan dengan keusahawanan bagi menjana rezeki mampan selari dengan aspirasi melahirkan masyarakat berdaya saing.

Usaha ini sekali gus memastikan warisan makanan tradisi terus kekal relevan dalam landskap perniagaan moden.

-RJ-

Tinggalkan komen anda