
Laporan/Foto: Salleh Immun (Mukah)
MUKAH, 10 April (MalaysiaAktif) — Jekan Ipong atau ikan salai terus memahat nama sebagai ikon makanan tradisional yang bukan sekadar hidangan harian, malah menjadi simbol identiti budaya masyarakat Melanau yang memikat hati pelancong luar.
Keistimewaan hidangan ini terletak pada ketulenan kaedah penyediaannya yang masih mempertahankan teknik salai tradisional tanpa sebarang penggunaan bahan pengawet, pewarna atau perisa tiruan.
Seorang penjaja, Bolhan Sepawi, 53, menjelaskan bahawa rahsia kelazatan Jekan Ipong bergantung sepenuhnya kepada kesegaran ikan dan penggunaan kayu kering sebagai bahan bakar bagi menghasilkan aroma asap yang unik.

Bolhan Sepawi menunjukkan salah satu Jekan Ipong daripada ikan tongkol dan merupakan salah satu Jekan Ipong popular serta diminati ramai.
“Proses menyalai menggunakan kayu kering memastikan rasa ikan kekal asli dan memberikan bau yang sangat menyelerakan. Inilah yang dicari oleh pelanggan.
“Setiap kali tiba musim perayaan atau acara besar di Mukah, permintaan melonjak berkali ganda kerana Jekan Ipong merupakan produk wajib beli bagi mereka yang berkunjung ke sini,” katanya ketika ditemui hari ini.
Tambah beliau lagi, ikan yang baru ditangkap akan dibersihkan dengan teliti sebelum disalai secara perlahan di atas bara api bagi memastikan isi ikan masak merata tanpa menjejaskan tekstur aslinya.
Dalam pada itu, pengusaha veteran, Ajemie Jalkip, 55, berkongsi tip hidangan terbaik di mana Jekan Ipong paling enak dinikmati bersama sambal kicap pedas dan sagu.

Ajemie Jalkip dibantu anaknya ketika melayan pelanggan yang membeli Jekan Ipong di Pasar Mukah, semalam.
“Gabungan rasa lemak manis ikan salai, pedas sambal, dan tekstur sagu yang unik memberikan satu pengalaman gastronomi yang sukar didapati di tempat lain,” ujarnya yang telah mengusahakan perniagaan tersebut selama 17 tahun.
Menurut Ajemie, bagi menjamin kualiti, beliau hanya menggunakan bekalan ikan segar terus daripada nelayan tempatan. Harga yang ditawarkan pula kekal kompetitif, bergantung kepada jenis dan saiz ikan, sekali gus mampu milik untuk semua lapisan pelanggan.
Menjelang Pesta Kaul 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 27 April hingga 3 Mei depan, Jekan Ipong dijangka menjadi antara produk paling laris, sekali gus memberikan limpahan rezeki kepada peniaga kecil di sekitar Bahagian Mukah.
Keupayaan mengekalkan warisan penyediaan secara turun-temurun ini bukan sahaja memelihara sejarah masyarakat Melanau, malah memastikan Jekan Ipong terus relevan sebagai produk pelancongan makanan yang berdaya saing di peringkat global.
-RJ-





