
Laporan/foto : Herlina Ainizawati Zakaria (Selangor)/IPD Sungai Buloh
SHAH ALAM, 10 April (MalaysiaAktif) – Polis sedang memburu seorang tahanan lelaki warga Pakistan yang dilaporkan melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh, semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt. Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata Muhammad Hassan, 24, terlibat dengan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.
“Dia menghadapi beberapa pertuduhan termasuk mengikut Seksyen 377C dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan, Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta kesalahan berkaitan imigresen.
“Banduan kali terakhir dilihat berpakaian t-shirt berwarna oren dan berseluar panjang berwarna hitam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Atas kesalahan yang dikaitkan dengan Muhammad Hassan, beliau menasihatkan orang ramai untuk lebih berhati-hati dan melaporkan sebarang maklumat yang dimiliki kepada pegawai penyiasat Insp. Muhendran Chandra di talian 010-4304383 atau Insp. Azamuddin di talian 016-5661597.
“Boleh juga menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di talian 03-61561222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Dalam pada itu beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau membuat spekulasi yang boleh menjejaskan operasi polis serta menimbulkan kegusaran masyarakat.
-FN





