Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

TVET Bukan Sijil Kelas Kedua, Jamin Kerjaya Anak Muda Perak

By 24 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: SitiHajar/Mohammad Ezwandi (Perak)

IPOH, 24 April (MalaysiaAktif) – Sijil Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini merupakan laluan pendidikan yang diiktiraf sepenuhnya dan bukan lagi pilihan kelas kedua bagi golongan muda di negeri ini.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata sijil TVET menjadi kunci utama kepada peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang sedang pesat membangun selari dengan keperluan industri semasa.

“Sijil TVET merupakan peluang terbaik buat anak muda, termasuk mereka yang tidak mendapat keputusan cemerlang, untuk terus mengasah bakat bagi mengisi keperluan tenaga kerja di Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi bual bicara sempena Majlis Peluncuran Jelajah Yakini Kejayaan Inisiatif Negeri (YAKIN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini kelmarin.

Saarani berkata kerajaan negeri sedang giat melaksanakan kempen kesedaran bagi membetulkan persepsi masyarakat, khususnya ibu bapa dan guru, terhadap kepentingan bidang kemahiran dalam pasaran kerja masa kini.

“Ramai anak muda tidak mempunyai ruang untuk ke universiti, namun kita membuka peluang melalui institusi TVET, kita mahu mereka tahu bahawa masa depan tidak tamat di situ, sebaliknya mereka ada ruang mendapatkan kemahiran sebagai persediaan pekerjaan,” katanya.

Menurutnya, terdapat 62 institusi di Perak termasuk Kolej Komuniti, Kolej Vokasional, Sekolah Menengah Teknik serta rangkaian Politeknik yang menawarkan pelbagai kursus kritikal.

Beliau memberi contoh Politeknik Sultan Azlan Shah yang memfokuskan bidang automotif dan Politeknik Sultan Nazrin Shah di Bagan Datuk yang menyediakan pengkhususan dalam bidang maritim.

-RI

Tinggalkan komen anda