
Laporan/foto: Syamilah Yusman/Mohd Zahid Othman (Johor)
JOHOR BAHRU, 2 April (MalaysiaAktif) – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor merampas 545.9 kilogram (kg) dan 1,832 liter (l) air ketum menerusi beberapa serbuan berasingan di sekitar Kempas pada 27 Feb lepas.
Pengarahnya, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata rampasan tersebut membabitkan jumlah keseluruhan RM76,796.
“Di lokasi pertama di Kampung Kempas Denai, operasi menemukan timbunan bungkusan plastik mengandungi 103kg daun disyaki ketum serta dua tong berisi botol mengandungi 189.5l cecair disyaki air ketum yang disembunyikan di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.
“Serbuan di lokasi kedua di Taman Kempas Utama pada hari sama kira-kira pukul 9.30 malam menemukan daun ketum seberat 442.9 kilogram bernilai RM17,716 serta air ketum sebanyak 1,642.5 liter bernilai RM49,275, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan RM66,991,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Menara Kastam Johor, di sini hari ini.
Beliau berkata tiga individu ditahan terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan dua wanita warga Indonesia berusia antara 28 hingga 35 tahun, namun kesemuanya telah dilepaskan dengan jaminan.
Kes katanya disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
-RI





