
Pelapor/foto: Shah Hood/Suhaimi Yusuf – The Edge
JOHOR BAHRU, 3 April (MalaysiaAktif) – Cadangan kadar tambang bagi projek Projek Sistem Transit Rapid (RTS Link) antara Johor Bahru dan Singapura dijangka dibentangkan pada suku ketiga tahun ini sebelum dimuktamadkan oleh kedua-dua kerajaan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata pengendali perkhidmatan, RTS Operations Pte Ltd akan mengemukakan cadangan tersebut melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura sebelum sebarang pengumuman dibuat.
“Kelulusan kedua-dua negara adalah syarat utama bagi memastikan kadar tambang yang ditetapkan adil serta mengambil kira kepentingan pengguna di Malaysia dan Singapura,” katanya selepas melawat tapak projek berkenaan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Chagar, di sini, hari ini.
Anthony berkata kerajaan juga akan meneliti bentuk bantuan yang bersesuaian kepada rakyat Malaysia, namun subsidi tidak akan diberikan kepada warga asing.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan perkhidmatan Shuttle Tebrau oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dijangka ditamatkan dalam tempoh enam bulan selepas RTS Link mula beroperasi sepenuhnya tertakluk kepada perjanjian dua hala antara Malaysia dan Singapura.
RTS Link merupakan sistem rel sepanjang kira-kira empat kilometer yang menghubungkan Johor Bahru dan Woodlands, Singapura, dan dijadual beroperasi sepenuhnya pada 1 Januari tahun hadapan dengan kapasiti sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah pada waktu puncak.
Projek ini dijangka menjadi penyelesaian utama dalam mengurangkan kesesakan di Tambak Johor serta meningkatkan kecekapan pergerakan rentas sempadan.
-FN





