
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SIMANGGANG, 3 Apr (MalaysiaAktif) – Seorang peniaga di sini menyediakan 45 jenis kek lapis pelbagai warna dan rasa kepada tetamu yang hadir ke rumahnya sempena Aidilfitri.
Abang Ajibi Abang Morshidi, 56, berkata antara koleksi premium termasuk kek lapis Baklava, Greenwood, Matcha Chocolate, Senja Nan Merah, Chocolate Fudge dan Lapis Donde.
“Penyediaan kek mewah dalam kuantiti banyak tersebut bertujuan untuk meraikan kebersamaan dan berkongsi rezeki dengan orang ramai. Kek ini bertujuan untuk menjamu pengunjung, bukan untuk koleksi peribadi atau tujuan menunjuk-nunjuk.
“Harga bagi sebiji kek lapis premium tersebut mencecah RM280 hingga RM500 manakala kek lapis Baklava boleh melebihi RM500 berikutan penggunaan bahan berkualiti tinggi,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini semalam.
Tradisi unik tersebut katanya telah dimulakan sejak 30 tahun lalu, bermula dengan kuantiti yang kecil sebelum berkembang sehingga menjadikan rumahnya antara destinasi wajib kunjung di Simanggang setiap kali Syawal menjelma.
Beliau berkata proses menyiapkan kesemua kek tersebut dimulakan sejak 15 Ramadan lalu dengan bantuan rakan-rakan bagi memastikan setiap lapisan kek kekal segar.
Bagi Abang Ajibi kegembiraan tetamu menikmati hidangan tersebut memberikan kepuasan batin sekali gus membuktikan semangat kejiranan di Sarawak terus subur.
-RJ-





