
Laporan/foto: Rahman Ishak (Putrajaya)/Facebook Fahmi Fadzil
PUTRAJAYA, 15 April (MalaysiaAktif) – Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah memutuskan untuk meningkatkan kadar adunan biodiesel daripada B10 kepada B15.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Jemaah Menteri telah meneliti beberapa aspek untuk pelaksanaan dengan kadar adunan diputuskan bermula dengan B12 tanpa melibatkan sebarang kos tambahan.
“Langkah ini tidak melibatkan kos tambahan kepada kerajaan dan hanya menggunakan infrastruktur sedia ada,” katanya pada Sidang Media Mingguan, di sini hari ini.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata seperti dimaklumkan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad sebelum ini bahawa kemudahan bagi biodiesel B20 kini telah tersedia di Labuan, Langkawi dan di seluruh negeri Sarawak kecuali Bintulu.
“Menteri Ekonomi (Akmal Nasrullah Mohd Nasir) dijadualkan melakukan lawatan ke premis berkaitan pada Sabtu ini bagi meninjau bahan asas pengadunan biodiesel,” katanya.
Semalam, Akmal Nasrullah ketika berucap pada Taklimat Krisis Tenaga Global berkata asas industri, rantaian bekalan dan keupayaan campuran negara telah bersedia apabila sebanyak 975,207 tan metrik biodiesel Malaysia telah dikeluarkan tahun lepas meskipun kapasiti pengeluaran mencecah 2.36 juta tan metrik.
“Ia hanya perlu diperkukuh secara tersusun untuk memberi manfaat lebih besar kepada negara,” katanya.
-FN





