Skip to main content
Berita TempatanPutrajaya

Krisis Tenaga Global: MCMC Kesan 441 Kandungan Palsu

By 15 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Azza Aziz/Facebook Datuk Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 15 April (MalaysiaAktif) – Sebanyak 441 kandungan palsu berkait krisis tenaga global telah dikenal pasti untuk diturunkan bagi tempoh 29 Mac lepas hingga 7 pagi, hari ini.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesan kandungan berkenaan hasil aduan rasmi orang awam yang kemudiannya dipanjangkan kepada platform-platform media sosial untuk diturunkan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 54 kertas siasatan telah dibuka dengan 12 kertas siasatan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk penelitian dan tindakan lanjut. Manakala, 42 lagi masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media mingguan, di sini hari ini.

Dalam perkembangan terbaharu, Fahmi berkata satu grafik palsu telah dikesan tular sejak semalam yang menyalahgunakan format sebuah portal media tempatan kononnya melaporkan pengumuman mengenai Automatic Pricing Mechanism (APM).

Jurucakap Kerajaan MADANI itu turut memaklumkan MCMC akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi mengekang penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh mengelirukan masyarakat.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi serta merujuk kepada sumber rasmi bagi mengelakkan penyebaran berita palsu.

“Kerjasama semua pihak amat penting dalam memastikan ekosistem maklumat yang sihat dan berintegriti,” katanya.

Pada masa sama, beliau memaklumkan harga baharu bagi produk-produk bahan api yang dijual di Malaysia akan diumum pada setiap Rabu sekitar pukul 6 petang atau 7 malam.

Sebarang maklumat yang dibuat ataupun sebaran yang dikesan sebelum pada hari dan waktu serta disebar bukan melalui laman rasmi Kementerian Kewangan katanya berkemungkinan adalah bersifat palsu.

-FN

Tinggalkan komen anda