Skip to main content
Berita TempatanPahang

Kerajaan Pahang Perkasa Kebajikan, Infrastruktur Kampung Orang Asli Kedaik

By 19 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Erzufariza Z (Rompin)/JAKOA Daerah Rompin

ROMPIN, 19 April (MalaysiaAktif) – Seramai 170 pelajar Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Kedaik menerima sumbangan wang saku daripada kerajaan negeri Pahang bertujuan bagi membantu perbelanjaan persekolahan mereka.

Syed Ibrahim menyampaikan ucapan sempena Program Jelajah Aspirasi Pahang 1st Peringkat Daerah Rompin di SK Kedaik.

Sumbangan yang diselaraskan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Pahang itu disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad ke Kampung Kedaik, sempena program Jelajah Aspirasi Pahang 1st Peringkat Daerah Rompin, di sini Rabu lepas.

Syed Ibrahim berkata pendekatan turun padang amat penting bagi memastikan setiap permasalahan yang dihadapi komuniti Orang Asli dapat ditangani secara lebih berkesan dan menyeluruh.

“Kerajaan Negeri Pahang sentiasa mengambil berat keperluan masyarakat Orang Asli, khususnya dalam aspek pendidikan, kebajikan dan kemudahan asas. Segala usul yang dibangkitkan akan diperhalusi dan diambil tindakan sewajarnya demi kesejahteraan mereka.

“Semoga segala inisiatif yang dirancang akan memberi manfaat berterusan kepada penduduk setempat serta meningkatkan kualiti hidup komuniti Orang Asli,” katanya ketika berucap pada program tersebut.

Seramai 170 orang pelajar Orang Asli SK Kedaik menerima bantuan wang saku yang diselaraskan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Pahang.

Sempena lawatan tersebut, beliau turut mengadakan sesi pertemuan bersama barisan Tok Batin dari beberapa buah kampung sekitar termasuk Kampung Bukit Serok, Rantau Panjang, Kedaik, Batu Lapan, Bukit Serdang dan Mentelong bagi mendengar sendiri pelbagai isu serta cadangan daripada masyarakat setempat.

Beliau turut mengadakan lawatan ke Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kedaik yang menempatkan kira-kira 120 keluarga.

Dalam lawatan itu, antara isu utama yang dibangkitkan ialah gangguan bekalan air yang menjejaskan 15 buah rumah di kawasan berkenaan. Susulan itu, pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) telah memperakui beberapa langkah penyelesaian segera termasuk penyediaan tangki statik serta pembekalan air secara berkala.

Selain itu, operasi loji air akan ditingkatkan kepada 24 jam bagi menambah tekanan air ke tangki utama, manakala bagi pelan jangka panjang, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersetuju untuk membantu menaik taraf sistem saliran paip termasuk pemasangan booster bagi memastikan bekalan air lebih stabil.

-RI

Tinggalkan komen anda