
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)/MalaysiaGazette
GOMBAK, 19 Apr (MalaysiaAktif) – Kementerian Komunikasi sedang meneliti cadangan pemberian kuota petrol sebanyak 300 liter (l) khusus untuk kegunaan pengamal media di negara ini.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata perkara tersebut dijangka akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dijadualkan berlangsung Selasa depan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan buat masa ini belum ada sebarang keputusan muktamad atau perkembangan lanjut mengenai perkara tersebut.
“Belum lagi. Mesyuarat MTEN hari Selasa (depan),” katanya kepada media di sini hari ini.
Dalam pada itu, bagi meringankan beban tugas rakan media, Fahmi mengumumkan kementerian akan melaksanakan sidang media mingguan secara hibrid.
Langkah itu diambil bagi membolehkan wartawan yang berada di Kuala Lumpur mengikuti perkembangan tanpa perlu hadir fizikal ke Putrajaya, sekali gus menjimatkan kos dan masa perjalanan.
Sebelum ini media melaporkan, Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) memohon kerajaan mempertimbangkan pengecualian khas kepada pengamal media berdaftar supaya mengekalkan kuota 300l petrol RON95 sebulan.
-FN





