Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Kes Seleweng RM230 Juta: Tiada Kaitan Dengan Zakat Selangor

By 23 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)

SHAH ALAM, 23 Apr (MalaysiaAktif) – Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) menegaskan bahawa kes penyelewengan dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta yang sedang disiasat pihak berkuasa ketika ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan institusi tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor Mohd Khaidzir Shahari berkata laporan media berhubung penahanan beberapa individu itu sebenarnya melibatkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan bukannya pengurusan zakat di bawah seliaan mereka.

“Zakat Selangor mengambil maklum laporan tersebut, namun perlu ditegaskan ia tidak melibatkan institusi ini. Memandangkan siasatan masih berjalan, kami tidak akan mengulas lanjut mengenainya,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mengulas mengenai integriti pengurusan, Mohd Khaidzir menjelaskan Zakat Selangor beroperasi sebagai institusi rasmi di bawah seliaan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Beliau memberi jaminan bahawa setiap sen dana zakat diuruskan melalui sistem tadbir urus dan semak imbang yang sangat ketat bagi mengelakkan sebarang ketirisan.

“Antara mekanisme pemantauan yang dilaksanakan termasuklah audit dalaman, audit luaran dan semakan pihak berautoriti,” jelasnya.

Dalam pada itu, Zakat Selangor turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak benar yang boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi zakat di negara ini.

“Pihak kami mengekalkan pendirian tegas terhadap sebarang bentuk salah guna dana zakat. Orang awam disarankan merujuk saluran rasmi untuk maklumat tepat,” katanya.

Bagi umat Islam yang ingin menunaikan zakat, mereka dinasihatkan menggunakan platform sah melalui laman web rasmi di www.zakatselangor.com.my.

-AA-

Tinggalkan komen anda